Persatuan Seni Khat Kebangsaan, PSKK, telah diberikan penghormatan oleh penganjur Mahrajan Seni Khat Antarabangsa Brunei apabila Dipertua PSKK, Dr Abd Rahman Hamzah dijemput memberi ucaptama dalam majlis perasmian yang disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Malik ibni Sultan Haji Hassanal Bolkiah selaku Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 15-17 Oktober yang lalu.
Mahrajan selama tiga hari ini turut dihadiri oleh Pengarah IRCICA, Turki iaitu Professor Mahmud Erol Kılıç. Antara program yang dijalankan ialah pameran serta bengkel Seni khat dan iluminasi yang dikendalikan oleh para khattat antarabangsa, termasuklah Mr Efdaluddin, Mr Syed Ahmad Depeler, Mr Belaid Hamidi dan Dr Sirojuddin AR. Kemuncak majlis ialah penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan seni khat yang disertai oleh penulis khat dari pelbagai negara.