Tuan Haji Ustaz Mohammed Yusof bin Abu Bakar adalah satu nama besar dalam sejarah Seni Khat Malaysia, dikenali sebagai antara tokoh utama yang mengangkat martabat seni ini melalui pengorbanan dan jasa yang telah mencipta kenangan indah, menjadikan beliau sebagai permata seni yang tiada tandingannya. Pada 3 Oktober 2024, beliau telah pulang ke rahmatullah, dengan meninggalkan warisan yang amat bernilai kepada dunia seni khat, bukan sahaja di Malaysia bahkan di peringkat antarabangsa. Pemergian beliau telah membawa satu kehilangan yang mendalam dan kesedihan yang menusuk hati, terutama bagi ahli keluarga, anak-anak murid serta pencinta seni khat.
Dilahirkan di Bachok, Kelantan pada tahun 1930, Tuan Haji Ustaz Mohammed Yusof telah menunjukkan minat yang mendalam terhadap seni tulisan tangan dan seni khat sejak kecil lagi. Beliau telah mendapat pendidikan asas dalam seni Islam menjadi tapak kukuh yang menumbuhkan kecintaannya terhadap khat. Setelah dewasa, beliau mengasah bakat melalui tunjuk ajar ramai tokoh seni khat tempatan dan antarabangsa yang terkenal, termasuk di negeri Kelantan serta Timur Tengah, di mana beliau memperhalusi teknik dan gaya penulisannya. Keghairahan untuk membawa pulang ilmu khat ke tanah air begitu membara, menjadikan beliau bukan sahaja mahir dalam teknik rumit khat, malah memiliki wawasan tinggi untuk mengangkat seni khat sebagai identiti kebanggaan Malaysia.
Sebagai pengasas Persatuan Seni Khat Kebangsaan (PSKK), Tuan Haji Ustaz Mohammed Yusof berjaya mengumpulkan para penulis dan penggiat seni khat di bawah satu organisasi kukuh. Melalui PSKK, beliau memperjuangkan ilmu khat dengan mengadakan bengkel, program latihan, serta pelbagai aktiviti bertujuan memperkasakan dan mengukuhkan seni ini di Malaysia. Bakat muda turut digilap dan dididik di sini, menjadikan PSKK sebagai sumber inspirasi serta pusat rujukan seni khat di negara ini.
Projek Mushaf Malaysia adalah antara pencapaian terbesar Tuan Haji Ustaz Mohammed Yusof dalam usaha memartabatkan seni khat. Projek ini, dijalankan bersama Yayasan Restu, bertujuan menghasilkan naskhah al-Quran dengan gaya khat yang unik, mencerminkan identiti Malaysia. Sebagai mentor utama, beliau berperanan penting dalam memastikan setiap huruf ditulis dengan indah dan tepat, mendidik bakat muda untuk meningkatkan kemahiran mereka hingga mencapai tahap antarabangsa.
Manifestasi Perdana Seni Khat, anjuran Muzium Kesenian Islam Kuala Lumpur, adalah satu lagi program berprestij dalam dunia seni khat yang menyaksikan penglibatan Tuan Haji Ustaz Mohammed Yusof sebagai perancang dan ketua hakim. Pertandingan ini bertujuan menggalakkan bakat tempatan dalam seni khat sambil memupuk minat generasi muda terhadap seni Islam. Ketelitian beliau dalam menilai karya khat menunjukkan dedikasinya dalam mengekalkan kesempurnaan dan keindahan setiap hasil seni yang dihasilkan.
Sebagai guru, Tuan Haji Ustaz Mohammed Yusof dikenali sebagai seorang pendidik tegas namun berjiwa lembut. Anak-anak muridnya bukan sahaja diajar teknik penulisan khat, tetapi juga diajar tentang adab, kesantunan berguru, dan penghayatan mendalam terhadap seni Islam. Tegas dalam pembelajaran, beliau percaya ketelitian adalah kunci dalam menghasilkan khat yang sempurna, yang sekaligus menjadi asas kukuh dalam membentuk penulis khat berkualiti tinggi.
Namun, pada 3 Oktober 2024, dunia seni khat kehilangan seorang tokoh yang tidak akan dapat digantikan. Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Ar Rahman Kampung Tunku, Petaling Jaya dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara dengan dihadiri oleh keluarga, sahabat, dan anak murid tersayang. Kesedihan menyelubungi masjid ketika solat jenazah diadakan, menandakan perpisahan terakhir dengan seorang tokoh yang telah banyak berjasa.
Meskipun telah pergi, legasi Tuan Haji Ustaz Mohammed Yusof akan terus hidup melalui hasil karya dan ilmu yang beliau tinggalkan. Beliau menjadi simbol keteguhan serta cinta mendalam kepada seni khat yang terus menginspirasi generasi muda untuk memperjuangkan warisan seni ini demi agama, bangsa, dan negara.
Pemergiannya meninggalkan kesedihan yang mendalam. Beliau akan terus dikenang dalam ingatan atas segala jasa yang dicurahkan. Dunia seni khat telah kehilangan permata berharga yang sukar dicari ganti. Marilah kita sama-sama mendoakan kesejahteraan roh beliau dan menghadiahkan Al-Fatihah sebagai tanda kasih serta penghormatan kepada seorang tokoh yang telah memberikan sumbangan besar dalam memartabatkan Seni Islam di Malaysia.
Diantara sumbangan beliau dalam memartabatkan Seni Khat kepada Negara ialah:
- Logo Halal JAKIM yang kini digunapakai
- Seni Binaan Khat Masjid Putrajaya, Masjid Besi Putrajaya, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
- Penulis utama khat di ruang solat utama Masjid Negara di era pembinaan bersama Tuan Syed Mahdar Assyahab
- Penulis seni bina khat di sekeliling Masjid Putra dan Khat Thuluth di mihrab
- Penulis khat di Masjid Mizan Zainal Abidin
- Pengasas dan Mantan Yang Dipertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan
- Penasihat Al-Quran Mushaf Malaysia
- Guru Seni Khat di Restu International College
- Guru Seni Khat di Muzium Kesenian Islam Malaysia Kuala Lumpur