Dr Abd Rahman Hamzah
Yang Dipertua PSKK
9 September 2021

Assalamualaikum wbt

Bersyukur kita kehadrat Allah swt kerana dikurniakan nikmat Iman dan Islam. Agama kita mengajar bahawa setiap apa yang berlaku, ia tidaklah selain ujian Allah untuk membezakan siapakah antara hambaNya yang beriman dan yang lebih baik amalnya. Ketika melalui tempoh yang sukar kerana dibelenggu oleh ancaman covid19, setiap orang melalui pengalaman yang berbeza. Apa pun yang berlaku, kita yakin bahawa setiap takdir Allah pasti ada hikmah di sebaliknya.

Mesyuarat Agung Pemilihan (AGM) PSKK sesi 2021-2023 telah berjaya dijalankan pada Sabtu 14 Ogos 2021 yang lalu. AGM kali ini dilaksanakan dengan norma baharu iaitu secara atas talian. Walaupun berbeza dengan kaedah terdahulu, AGM kali ini tetap mempunyai keunikan yang tersendiri seterusnya sejarah untuk dirakamkan. Terima kasih kepada seluruh AJK yang telah bertungkus lumus merancang, menyusun seterusnya mempastikan ia menjadi kenyataan. Terima kasih juga kepada semua ahli PSKK yang meluangkan masa menyertai mesyuarat dari awal hingga ke akhirnya.

Kepada AJK sesi yang lalu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan atas sumbangan dan komitmen yang telah diberikan. Tiga tahun bukanlah satu tempoh yang singkat, apatah lagi jika diambil kira pelbagai usaha dan jatuh bangun bersama sepanjang melaksanakan tugas yang diamanahkan. Tugas mengemaskini laporan Persatuan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), kemaskini rekod keahlian, menyesuaikan aktiviti dengan norma baharu secara atas talian, semuanya merupakan komitmen serta sumbangan ikhlas dari para AJK budiman. Semoga Allah memberikan ganjaran terbaik kerana Dialah yang Maha Kaya.

Sekalung tahniah kepada barisan AJK baru sesi 2021-2023 yang terpilih. Di sini saya ingin menyeru kepada barisan AJK yang baharu serta seluruh ahli untuk bersama memperbaharui tekad menggembeling tenaga dan fikiran untuk membangunkan seni khat melalui PSKK. Bersamalah kita berganding bahu berkongsi kelebihan yang Allah kurniakan, serta bantulah sahabat-sahabat kita yang masih bertatih dan serba kekurangan. Dengan berkembangnya system komunikasi kini, mudah-mudahan pelbagai usaha lebih mudah dicapai oleh semua peringkat masyarakat tanpa mengira sempadan geografi.

Antara tugasan berat yang perlu digalas ialah berkaitan keahlian PSKK. Sebagaimana yang kita maklum bahawa keahlian merupakan perkara paling asas dan penentu kepada kelangsungan sesebuah persatuan. Jika dilihat kepada jumlah peminat seni khat seluruh tanahair melalui “follower” facebook, telegram, whassap dan media lain jumlahnya mencecah angka ribuan orang. Namun apabila “follower” ini diajak menjadi ahli, tidak sampai 5 peratus yang menyahutnya. Umur PSKK telah menjangkau 32 tahun namun jumlah ahli berdaftar masih belum mencapai angka yang memuaskan.

Sesungguhnya hal keahlian bukanlah soal pendapatan PSKK yang akan diraih dari yuran keahlian, tetapi isu komitmen. Ia berkait dengan persoalan sejauh manakah kesungguhan kita untuk bekerjasama demi memartabatkan seni khat mengatasi kepentingan pribadi. Janganlah kita tanya apakah yang kita boleh dapat dari PSKK, tapi tanyalah diri, apakah yang boleh kita sumbangkan kepada PSKK iaitu satu-satunya Persatuan Seni Khat induk di negara kita. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Akhirnya sama-samalah kita berdoa agar ancaman Covid19 segera diangkat oleh Allah agar kita boleh kembali menjalani kehidupan kita secara aman. Bagi yang sedang diuji dengan pelbagai ujian, bersabar dan bertawakkallah, semoga Allah memberikan gantian yang lebih baik atas setiap musibah.

Perjalanan seni khat masih jauh
Ayuh bersama kita teruskan perjuangan!

Bakul

0
image/svg+xml

No products in the cart.

Continue Shopping